KUALA LUMPUR: Umno Selangor sudah bersedia merampas semula negeri itu daripada pakatan pembangkang dan akan melipatgandakan usaha bagi membolehkan rakyat melihat keprihatinan Barisan Nasional (BN) membantu rakyat khususnya di negeri itu.

Wakil Selangor, Datuk Johan Abd Aziz ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden berkata, tindakan kerajaan pembangkang Selangor yang konon mencanang membela rakyat, sebenarnya hanya lebih menghuru-harakan negeri itu hingga membebankan rakyat.


“Umno Selangor sudah bermuhasabah diri dan sudah nampak jalan bagi merampas semula negeri itu daripada pakatan pembangkang. Kita tidak boleh lagi tewas di Selangor.

“Kita bekerja keras untuk menyelamatkan negeri itu daripada terus hancur dan musnah angkara puak rakus ditunjangi DAP,” katanya.


Menurutnya, Umno Selangor begitu mencemburui kejayaan negeri lain yang dimenangi Umno dan BN apabila terus berdaya maju berbanding Selangor.


“Kami di Selangor begitu pedih akibat kekalahan dalam pilihan raya umum lalu dan kami amat cemburu dengan negeri yang menang. “Melalui maklum balas diterima daripada akar umbi, rakyat negeri ini amat menyenangi segala bantuan secara terus dan pantas diberikan kerajaan Persekutuan. Kerajaan perlu meneruskan segala program yang sudah diwujudkan selain memberi peruntukan supaya lebih ramai rakyat merasai sentuhan keprihatinan kerajaan BN,” katanya.

No comments:

Post a Comment