KUALA LUMPUR: Wakil Perak, Datuk Saarani Mohamad mencadangkan Badan Perhubungan Umno negeri mengadakan perhimpunan atau konvensyen mini bagi membahaskan secara mendalam Ucapan Dasar Presiden, kelmarin supaya dapat difahami ahli di peringkat akar umbi.
“Barang kali perbahasan itu nanti lebih bernas kerana mereka (pemimpin peringkat negeri) lebih tahu apa diperlukan di peringkat akar umbi. “Justeru, Umno Perak mencadangkan tiap-tiap negeri mengadakan perhimpunan atau konvensyen mini untuk membahaskan ucapan Presiden,” katanya ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, kelmarin. Beliau turut mencadangkan Umno mengamalkan pendekatan lima ‘D’ iaitu dorongan, daya usaha, dedikasi, disiplin serta doa bagi memastikan parti itu dan Barisan Nasional (BN) terus kekal relevan dan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang. “D yang pertama iaitu dorongan harus ada dalam setiap diri ahli Umno untuk mencapai kejayaan pada pilihan raya manakala D yang kedua pula iaitu daya usaha bermakna untuk memang, semua bahagian perlu menubuhkan pasukan kerja pilihan raya masing-masing.
“Begitu juga dedikasi yang memerlukan kita berusaha, bekerja bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa manakala disiplin memerlukan kita menunjukkan taat setia tidak berbelah bagi kepada Umno. Ia kemudian diiringi doa semoga segala dilakukan diberkati Allah,” katanya.

No comments:
Post a Comment