SEREMBAN: Seorang gadis yang didakwa lari mengikut pengkid sejak setahun lalu tampil memberikan penjelasan sebenar mengenai perkara itu, di sini, semalam.
Siti Saidatul Aishah Razali, 17, atau dikenali sebagai ‘Manja’ berkata, dia tidak lari mengikut pengkid dikenali sebagai Nano berusia 20-an seperti didakwa sebelum ini. “Saya mengambil keputusan berpindah ke rumah keluarga angkat selepas tertekan dengan situasi berlaku di rumah.
“Tiada sedikit pun niat lari meninggalkan ibu, namun saya terpaksa berpindah ke rumah keluarga angkat di Taman Jasper Jaya sejak April 2010,” katanya ketika datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.
Gadis itu mendakwa, sikap ibu dan bapanya yang sering berselisih faham mendorong dia mengambil keputusan berpindah dan tinggal bersama keluarga angkatnya itu.
“Sebenarnya saya tidak lari dari rumah mengikut seorang pengkid seperti didakwa ahli keluarga, sebaliknya sudah meminta izin daripada ayah sebelum keluar rumah.
“Walaupun sudah tidak tinggal bersama, saya sering berjumpa keluarga dan mereka juga selalu menziarahi saya di rumah keluarga angkat,” katanya.
Menurutnya, keadaan tegang di rumah menyebabkan dia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan mengambil keputusan berhenti sekolah selain tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
“Macam mana nak belajar kalau setiap hari dengar mak dan ayah bertengkar? Jadi saya beritahu pada mak saya tidak mahu ke sekolah lagi kerana sudah tidak berminat meneruskan pelajaran,” kata anak kelima daripada tujuh beradik itu.
Sementara itu, bapa angkatnya, Shahril Rashid, 52, berkata, dia terkilan dengan dakwaan mengatakan anak angkatnya itu lari dari rumah sedangkan keluarganya sudah membenarkan Manja tinggal di rumahnya.
“Saya dan ayah Manja baik dan kami selalu keluar makan bersama namun tidak menyangka keadaan boleh jadi begini.
“Mungkin ini salah faham dan saya berharap perkara seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.
Sebelum ini Harian Metro melaporkan, seorang ibu kesal apabila anaknya berusia 17 tahun dikenali sebagai ‘Manja’ hilang dari rumah dipercayai mengikut seorang pengkid dikenali sebagai Nano berusia 20-an, sejak lebih setahun lalu.

No comments:
Post a Comment