SEKIRANYA kekuatan mental pasukan Bawah 23 tahun menjadi penentu dalam mempertahankan kejuaraan pingat emas Sukan Sea 2011, maka pemain kita kini menghadapi satu lagi cabaran.

Selepas menjadi wira, dalam masa beberapa hari mereka kembali berpijak di bumi nyata dengan dua kekalahan sewaktu perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2012.


Kita bersimpati dengan mereka selepas tewas di tangan Syria kerana keletihan tapi apa pula alasan kecuaian dalam perlawanan menentang pasukan ‘sub standard’ Bahrain. Perlawanan ini dikuasai penuh pasukan kita tapi 10 minit terakhir kita rebah sepasukan.

Tambah pahit apabila pasukan lawan hanya beraksi dengan 10 pemain dan kini soal kekuatan mental bangkit semula. Mungkin pasukan kita mempunyai kekuatan mental tapi kekurangan kelasakan mental.


Sekiranya kekuatan mental bermakna kita berdepan dengan cabaran elemen atau unsur alam manakala kelasakan mental lebih kepada menghadapi tekanan diri sendiri. Sebagai contoh, adakah sesetengah pemain sudah mula berkhayal cara mana mahu membelanjakan wang bonus atau ada pula yang mungkin memikirkan tempat untuk menjamu selera? Mungkin dengan pengalaman pahit ini, pemain muda lebih memahami tumpuan adalah segala galanya sewaktu beraksi dalam keadaan letih.


Ke mana pula arah Liga Malaysia sekiranya benar laporan media yang mendakwa bekas pemain Perlis, Zakaria Simukonda akan kembali beraksi di Malaysia pada usia 35 tahun.

Bukankah seharusnya ada ‘had umur’ sekiranya kita ingin memajukan bola sepak di negara ini atau adakah kita sekadar menjadi ‘rumah persaraan’ (retirement home)? Walaupun ini mungkin kes terpencil tapi kita seharusnya mempunyai garis panduan sekiranya ingin memajukan bola sepak di negara kita. Selain itu, bagaimana pula dengan cadangan Liga Super agar mempunyai 18 pasukan? Bilakah kali terakhir Johor FA menentang Selangor dalam perlawanan liga? Sudah tentu peminat bola sepak di seluruh negara ingin menyaksikan pemain seperti Nazmi Faiz Mansor beraksi di tempat mereka.


Seterusnya, apa kata kita membentuk Liga Premier Utara dan Liga Premier Selatan sebagai liga semi-pro yang mengandungi 12 pasukan setiap bahagian. Cadangan ini bukan baru kerana kolum ini sudah berkali-kali menyuarakan pendapat sedemikian bagi merancakkan bola sepak negara dan akan berterusan menyiarkannya.

No comments:

Post a Comment