CEMERLANG...Hup Wei berjaya raih emas selepas melakukan lompatan 2.15m pada Sukan Sea baru-baru ini.
CEMERLANG...Hup Wei berjaya raih emas selepas melakukan lompatan 2.15m pada Sukan Sea baru-baru ini.

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menawarkan diri mengendalikan atlet olahraga yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi tapi semuanya dengan bersyarat.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata, beliau sedia mengambil alih tugas menguruskan atlet olahraga sepenuhnya bagaimanapun tidak mahu campur tangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).


Zolkples berkata, tindakan tegas itu ditawarkan selepas melihat percakaran membabitkan badan sukan negara dan persatuan itu seperti tidak berkesudahan apabila setiap usaha dilakukan pasti akan mendapat tentangan.

Luahan rasa atlet senior, Noraseela Khalid yang bengang dengan masalah dalaman KOM hingga merencatkan pembangunan atlet mendorong MSN untuk bangkit mempertahankan atlet yang dilihat berpotensi besar untuk menyerlah.


“Saya sedia tapi syaratnya saya tidak mahu KOM campur tangan. Biar semua MSN yang uruskan. Saya tidak mahu perkara sebelum ini berulang. Bila kita hantar atlet ke luar negara, mereka kecam saya. Saya hantar Noraseela ke Afrika Selatan, mereka bantah kerana hantar atlet cedera.


“Kita hantar Lee Hup Wei (atlet lompat tinggi) ke Jerman, mereka tak setuju. Semua yang MSN buat pasti tidak akan mendapat persetujuan mereka. Tapi atlet inilah yang memberikan pingat emas kepada negara.

“Biarpun kata sepakat sudah dicapai, mereka tak mengikutinya. Contohnya, kuartet 4x100m wanita negara. Mesyuarat Jawatankuasa Kerja sudah mengarahkan atlet berlatih dibawah Tan Kok Lim tapi mereka tak ikut,” kata Zolkples.


Zolkples turut mempersoalkan tindakan KOM yang membawa lebih daripada 10 atlet menjalani latihan pusat di Miri, Sarawak dan Brunei sebelum beraksi di Sukan Sea Indonesia selain hampir tercicir emas apabila menggugurkan kuartet 4x400m lelaki negara sebelum disenaraikan semula.

Mengambil contoh Persatuan Lawan Pedang, Zolkples berkata, biarpun persatuan itu mempunyai masalah dalaman, mereka memberi pelepasan sepenuhnya kepada MSN untuk mengendalikan atlet mereka berlatih di luar negara. Hasilnya, atlet lawan pedang, Joshua Koh yang menjalani latihan di Itali selama dua bulan menyumbangkan dua pingat emas di Sukan Sea.

No comments:

Post a Comment