MANCHESTER: Manchester City tampak tidak bermasalah mengekalkan rekod cemerlang di gelanggang sendiri menentang kelab baru dinaik taraf apabila menanti kunjungan Norwich City dalam usaha mengukuhkan status selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris, hari ini.

Skuad kendalian Roberto Mancini akan turun beraksi minggu ini dengan kelebihan lima mata di tangga teratas liga selepas mencatat 11 kemenangan dan dua seri dalam 13 perlawanan.


Mereka hanya keciciran mata buat kali kedua musim ini ketika seri 1-1 di Liverpool minggu lalu.

Namun rekod di Eastlands musim ini kekal bersih dengan enam kemenangan daripada enam perlawanan termasuk menjaringkan 19 gol dan hanya dibolosi tiga kali.


Peluang City dalam saingan Liga Juara-Juara belum terjamin apabila mereka mengharungi perlawanan terakhir peringkat kumpulan minggu depan.


Mereka perlu menewaskan Bayern Munich di gelanggang sendiri dan mengharapkan Villarreal yang tidak memungut sebarang mata dalam lima perlawanan awal menewaskan Napoli.

Bagaimanapun, pemilik City, Sheikh Mansour sudah menegaskan, andai Mancini yang berjaya membimbing kelab itu memenangi Piala FA musim lalu berjaya merangkul Liga Perdana musim ini, kegagalan di Eropah boleh dilupakan.


Anak buah Mancini boleh terus mengukuhkan cengkaman menentang skuad bimbingan Norwich, Paul Lambert dan sejarah sebelum ini membuktikan mereka mempunyai kelebihan berdepan kelab dinaikkan taraf.

City membelasah Swansea 4-0 di tempat sendiri pada perlawanan pertama dan dalam empat musim sebelum ini mereka cuma sekali gagal mengutip tiga mata penuh dalam 12 perlawanan menentang kelab dinaikkan taraf iaitu ketika seri 3-3 dengan Burnley pada 2009.


Mancini tidak puas hati dengan jadual padat terpaksa diharungi City namun pasukannya masih mampu mencatat kemenangan 1-0 ke atas Arsenal dalam saingan Piala Liga, dua hari selepas berkunjung ke Anfield.


Penyerang Mario Balotelli dan pemain tengah Gareth Barry bakal mendapat tempat semula selepas terlepas aksi di Arsenal akibat penggantungan manakala Mancini tidak perlu berasa bimbang kerana semua tonggak utamanya bebas daripada kecederaan menjelang aksi Liga Perdana. - AFP

No comments:

Post a Comment