BAGAN DATOH 4 Dis. - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta semua wakil rakyat parti itu yang tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak merajuk dan menikam dari belakang.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, mereka sepatutnya menyokong dan berusaha bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti.

''Pucuk pimpinan mempunyai kuasa mutlak untuk memilih calon berdasarkan kriteria-kriteria tertentu serta maklum balas dari akar umbi.

''Oleh itu, saya harap wakil rakyat yang tidak terpilih sebagai calon jangan kecil hati atau merajuk dan menikam dari belakang jika tempat mereka digantikan oleh seseorang yang lebih layak," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan hadiah kepada seramai 106 pelajar di kawasan Parlimen Bagan Datoh yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 di Sekolah Kebangsaan Simpang Empat, Hutan Melintang di sini hari ini.

Ahmad Zahid juga mengingatkan semua wakil rakyat UMNO bahawa jawatan yang disandang mereka sekarang tidak kekal, sebaliknya akan terlucut dengan sendiri apabila Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

''Pada waktu itu, semua pemegang jawatan wakil rakyat tidak mempunyai jawatan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

''Justeru, kita perlu menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan siapa yang akan menjadi calon pilihan raya umum akan datang," ujarnya.

Beliau memberitahu, segala masalah di peringkat bahagian akan diselesaikan secepat mungkin bagi memastikan kemenangan parti pada PRU13 nanti.

Ahmad Zahid berkata, penyelesaian masalah itu amat penting kerana ia menyumbang sebanyak 50 peratus kepada kemenangan calon bagi kerusi Parlimen dan DUN.

No comments:

Post a Comment