KAJANG: Kebanyakan premis perniagaan di pusat bandar Kajang yang terjejas banjir ekoran hujan lebat petang semalam dibuka hari ini tetapi bukan untuk menjalankan perniagaan sebaliknya untuk kerja-kerja pembersihan.
Tinjauan Bernama hari ini bagaimanapun mendapati ada juga beberapa kedai seperti kedai alat telekomunikasi dan restoran beroperasi seperti biasa kerana
peniaga tidak mahu menanggung kerugian lebih besar. Seorang peniaga kedai emas yang mahu dikenali sebagai Chau, 52, berkata hujan lebat seawal 4 petang semalam menyebabkan air naik begitu pantas dalammasa tidak sampai lima minit membuatkan keadaan menjadi kelam-kabut.
"Saya sudah menjalankan perniagaan saya di sini selama 17 tahun dan sebelum ini memang ada hujan lebat dan kadang-kadang ada juga banjir tetapi tidak seteruk ini," katanya kepada Bernama di sini yang menganggar kerugian hampir RM40,000 kerana terpaksa menutup kedai selama beberapa hari bagi tujuan pembersihan.
Pekerja kedai serbaneka Siti Hamira, 21, berkata syarikatnya mengalami kerugian yang agak besar berikutan banyak barangan yang rosak kerana tidak sempat dialihkan.
"Air naik cepat, stok-stok barangan yang baru sampai pagi semalam kebanyakannya rosak kerana ditenggelami air dan itu belum lagi termasuk barangan yang kita pamerkan di rak-rak.
"Mesin komputer juruwang dan komputer pengendali kamera litar tertutup (CCTV) juga ditenggelami air dan selepas kerja-kerja pembersihan ini selesai kita akan periksa semula alat-alat elektronik kita sama ada masih boleh digunakan ataupun tidak," katanya.
Pekerja kedai alat telekomunikasi, Wong, 35, berkata aktiviti pembersihan akan dijalankan secara berperingkat iaitu di bahagian depan akan dibuka seperti biasa manakala di bahagian dalam ditutup untuk kerja-kerja pembersihan.
"Semalam kita sudah bersihkan kedai sikit-sikit sampai tengah malam, hari ini kita akan bersihkan lagi tetapi perniagaan kita masih terus jalankan untuk elak kerugian lebih banyak," katanya.
Seorang pemilik restoran, Ammini, 44, berkata restorannya beroperasi seperti
biasa meskipun kebanyakan barangan runcitnya ditenggelami air semalam.
"Saya dan pekerja lain tidak sempat mengalihkan barangan runcit seperti beras, tepung, rempah dan sebagainya jadi barangan tersebut terpaksa dibuang kerana tidak boleh digunakan lagi," katanya.
Aktiviti pembersihan itu turut disertai Majlis Perbandaran Kajang yang giat
membersihkan jalan raya, menunda kenderaan dan motosikal yang tersadai akibat
ditenggelami air dalam banjir kilat itu semalam.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Kim Sin
berkata, kejadian banjir di Kajang merupakan kejadian berkala tetapi mengakui
kali ini keadaan adalah lebih teruk berbanding sebelumnya.
"Pada 2008, kita ada buat projek tebatan banjir dengan membesarkan Sungai Jelok dan muara Sungai Jelok seterusnya mengalirkan air ke bahagian Sungai Langat dan membina dinding tebatan setinggi 1.5 meter.
"Dengan kerja-kerja pelebaran dan pembinaan ini, kita jangka tidak akan berlaku banjir kilat seperti ini tetapi air hujan yang begitu lebat semalam menyebabkan air di Sungai Jelok dan Sungai Langat melimpah memasuki pusat bandar," katanya. - BERNAMA

No comments:
Post a Comment