JENTERA serangan Selangor musim depan perlu menjadi antara yang digeruni lawan dalam mengharungi kancah Liga Malaysia musim depan bagi memastikan sekurang-kurangnya satu piala yang menjadi sasaran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menjadi milik Merah Kuning.
Bagi memastikannya menjadi realiti, kepakaran pengendali baru Selangor, Irfan Bakti Abu Salim akan menjadi taruhan selepas kejayaan bekas jurulatih Terengganu itu membentuk gandingan mantap gergasi Pantai Timur itu pada musim ini yang diketuai Abdul Hadi Yahya, Ashaari Shamsuddin dan Abdul Manaf Mamat.
“Saya masih mencari seorang lagi pemain import yang berkualiti untuk mengetuai bahagian serangan. Tiga pemain dijangka tiba dalam masa terdekat untuk diuji bagi digandingkan dengan seorang lagi pemain tempatan,” kata pengendali yang dinobat Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011, baru-baru ini.
Pengendali berpengalaman berusia 60 tahun itu sudah mempunyai perancangan tersendiri apabila mahu mencuba pemain serba boleh dimiliki Selangor, Mohd Amri Yahyah seperti yang pernah digunakan bekas ketua jurulatih Selangor, P Maniam dan K Devan pada musim lalu.
“Selain itu, saya mahu Mohd Amirulhadi Zainal kembali menonjol kerana dia seorang pemain sayap berbakat selain Mohd Safiq Rahim di tengah. Namun saya tidak mahu mewujudkan satu pasukan yang bergantung kepada seorang pemain saja. Semua pemain perlu memainkan peranan,” katanya.
Untuk musim depan, Selangor sudah mendapatkan pemain pertahanan dari Lubnan, Ramez Dayoub selain mengekalkan 12 muka lama serta sejumlah muka baru dengan bekas perancang tengah Harimau Muda A, K Gurusamy menjadi pemain terbaru menyarung jersi Merah Kuning.

No comments:
Post a Comment