KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong menyambut baik hasrat Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Sea Indonesia 2011, Datuk Naim Mohamad untuk menjadi orang tengah bagi menamatkan pertelagahan yang berlaku antara Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan MSN.
Bagaimanapun katanya, MSN dan KOM sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama jika Timbalan Presiden badan induk olahraga tanah air itu, Datuk Karim Ibrahim tidak campur tangan dalam keputusan yang diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama.
“Saya tidak mempunyai masalah dengan cadangan Naim itu kerana beliau individu yang cukup berpengalaman kerana memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Beliau boleh menasihatkan Karim supaya mengetahui batas sebagai Timbalan Presiden.
“MSN dan KOM tidak ada masalah kerana kami ada Jawatankuasa Kerja Bersama MSN dan KOM yang diwakili Presiden Datuk Seri Shahidan tapi masalah timbul apabila keputusan yang dicapai dalam mesyuarat itu ditolak Karim seperti yang terjadi terhadap kes latihan di Ranau, kuartet pecut 4x100m wanita dan atlet berlatih di Bulgaria sebelum ini.
“Saya dan Shahidan tidak ada masalah, masalah ini membabitkan campur tangan ‘personaliti’ lain,” kata Zolkples.
Kelmarin, Naim dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24 menyatakan hasrat memainkan peranan untuk menjernihkan semula hubungan tegang MSN dan KOM yang berlarutan.
Katanya, kedua-dua pihak perlu diberikan kata dua untuk menyelesaikan percakaran itu kerana andai masih menemui jalan buntu, mereka boleh melupakan terus hasrat untuk membangunkan sukan olahraga tanah air.

No comments:
Post a Comment