KUALA LUMPUR: Hari kedua perbahasan Perhimpunan Agung Umno 2011 semalam lebih menjurus kepada penekanan perwakilan mengenai peri penting semua orang Umno pelbagai peringkat memberi tumpuan khusus bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
Mendahului senarai, wakil Pergerakan Puteri Umno, Wan Salwati Abdullah yang juga Exco sayap bongsu parti membangkitkan mengenai pentingnya suara generasi muda diletakkan di tempat sepatutnya seiring pemimpin masa kini yang suatu masa nanti akan mewariskan legasi kepemimpinan mereka.
“Sedarlah ahli parti, pemimpin di semua peringkat, sejarah dunia sudah membuktikan generasi muda hari ini adalah antara kuasa sebenar dalam mengubah landskap sosio-politik sesebuah negara, tamadun dan peradaban dunia.
“Janganlah golongan generasi muda ini diperlekehkan dan dinafikan hak suara serta pandangan mereka. Kita seharusnya terus mendampingi generasi muda ini tanpa henti,” katanya.
Wakil Kelab Umno Luar Negara, Wan Mohamad Azam Wan Rosdy ketika berucap pula menyentuh mengenai semangat orang muda yang menurutnya sentiasa berkobar-kobar untuk bersama pemimpin memperjuangkan aspirasi parti.
Katanya, semangat mereka ibarat pendekar yang akan menentang pengkhianat bangsa secara habis-habisan, malah mereka tidak sanggup untuk melihat negara dipimpin parti lain selain Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Orang muda ini semangat membuak-buak, walaupun dia nampak tak lurus sangat, tapi dia yang akan ke depan...semangat yang ada dalam diri kami semangat pendekar. Kita yang akan tentang habis-habisan pengkhianat-pengkhianat kerana kita tak sanggup parti selain Umno...BN yang memimpin,” katanya.
Dalam nada bersahaja, beliau sempat menitipkan pesanan kepada perwakilan dan pemimpin pelbagai peringkat mengenai konsep sayang kepada parti dan keikhlasan ketika menjalankan tugas.
Bagi wakil Melaka pula, Datuk Hasnoor Sdn Husin sempat bertanyakan dua perkara mengenai ‘winnable candidates’ (calon boleh menang) yang ditekankan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden, semalam. “Adakah calon itu (calon boleh menang) itu hanya dikategorikan kepada Umno atau parti komponen dalam BN (Barisan Nasional). Kita nak pakai mana satu?,” tanyanya.
Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Katil itu berkata, Presiden perlu memberi gambaran jelas berhubung kriteria pemilihan calon bagi mengelakkan kekeliruan.
“Sekiranya dulu, kerusi itu milik MCA, adakah ia akan diganti dengan sesiapa saja asalkan boleh menang.
Wakil Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzil pula membidas pembangkang kerana gagal mentadbir negeri itu dengan baik dan adil untuk semua kaum, terutama orang Melayu.
“Saya nak bagi tau macam-macam masalah kami hadapi selama tiga tahun setengah, daripada isu air hinggalah Kampung Buah Pala, yang kini hanya yang ada buah pala saja, malah kita nak beribadat pun susah,” katanya.
Justeru, beliau meminta orang Melayu Pulau Pinang bersatu hati bagi mengembalikan semula kuasa kepada Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, walaupun Pulau Pinang mempunyai tokoh pembangkang antaranya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, namun Umno Pulau Pinang tidak gentar menghadapi lawan.
Wakil Kedah, Mohd Kamal Saidin yang menutup tirai perbahasan pula ketika membahaskan usul agama menegaskan, kekuatan Umno yang lebih 50 tahun memerintah negara dikaitkan dengan sikap kebanyakan ahli Umno menolak untuk memegang jawatan dan kini Umno dilihat lemah kerana ramai yang merebut jawatan serta kuasa hingga sanggup bersengketa dan berbalah sesama sendiri.
Pencadang Usul Agama, Pendidikan dan Sosial itu berkata, Umno kalah bukan kerana pembangkang kuat, tetapi kerana perbalahan sesama sendiri.
Justeru, Mohd Kamal menggesa supaya semua anggota parti supaya berbalik kepada pendekatan Islam yang tidak meletakkan kepentingan peribadi.

No comments:
Post a Comment